Salam
KUALA LUMPUR 15 Okt. - Umat Islam di seluruh negara diajak menyertai Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN), Selamatkan Akidah Umat di Stadium Shah Alam pada 22 Oktober ini.
Pengerusi Bersama HIMPUN, Dr. Yusri Mohamad berkata, sehingga kini lebih 1,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan sokongan untuk menyertai perhimpunan bertujuan menyelamatkan akidah umat Islam yang semakin terancam kebelakangan ini.
"Beberapa NGO dari Indonesia dan Brunei juga sudah memberi maklum balas positif untuk menyertai perhimpunan bermula pukul 2 petang itu."Jadi, saya ingin mengajak semua umat Islam tanpa mengira fahaman politik menyertai perhimpunan ini," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Sementara itu, individu yang turut menjadi tulang belakang HIMPUN, Datin Seri Fatini Yaacob berkata, perhimpunan itu bertujuan memberikan ingatan supaya umat Islam bersatu mempertahankan akidah."Musuh kita sudah merangka pelbagai agenda tetapi kita sesama Islam masih lagi leka dan berpecah-belah, jadi HIMPUN merupakan peringatan kepada kita tentang sejarah isu-isu murtad yang berlaku di negara ini," katanya.
Penasihat Kehormat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, perhimpunan itu bukan bagi menguatkan sentimen Islamofobia tetapi hanya untuk mengingatkan penganut agama lain supaya menghormati agama Islam.
"Kita meminta penganut agama-agama lain menghormati agama Islam yang sudah termaktub sebagai agama rasmi seperti mana kita menghormati mereka menjalankan ibadat masing-masing," katanya.
Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya menyifatkan perhimpunan itu sebagai medan untuk menegaskan kepada umat Islam betapa pentingnya bersatu mempertahankan akidah.
"Kita juga ingin menyeru semua pihak bersama-sama mempertahankan institusi raja yang menjadi penaung kepada institusi agama di setiap negeri," katanya.
Setiausaha Front Bertindak Anti Murtad (Forkad), Kamaruzaman Mohamad pula berpendapat, perhimpunan yang bakal diadakan itu bukan hanya untuk mempertahankan akidah tetapi semua isu melibatkan agama Islam.
"Umat Islam bukan hanya perlu memelihara akidah daripada terpesong, tetapi apa-apa sahaja isu yang menghina Islam perlu dipandang serius daripada menjadi bahan hinaan pihak-pihak lain," katanya.
* Marilah kita bersama2 tanpa mengira ideologi politik, latar belakang dan fahaman masing2 menunjukkan kita mampu bersatu atas dasar akidah dan kepercayaan kita kepada Allah SWT dan agama suci ini. Bangun dan bersatulah agar musuh2 kita gerun dan takut untuk memijak dan menghina agama kita ini. Inilah masa dan ketika untuk kita menunjukkan yang kita umat satu ummah satu akidah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan