ReviewMe

Khamis, 7 April 2011

Mat Rempit Menjadi Imam


Arakian dikisahkan, ada seorang mat rempit yang turun awal dari rumah di waktu maghrib ingin pergi merempit dengan kawan-kawannya.Dengan motor Yamaha LC 135 ekzos modifiednya dan rambut mayang mengurai serta jaket kulit ala-ala Slash kumpulan Gun &Roses dan jeans bertampal-tampal, bergeraklah beliau daripada rumah (ini pak bilal tak cakap, gambaran yang aku bagilah berdasarkan budaya dan penampilan sesetengah mat rempit).Diringkaskan cerita,di dalam perjalanan, terdengar laungan azan Maghrib.Singgahlah mat rempit itu di surau berdekatan ingin menunaikan kewajipan, walaupun di dalam hatinya timbul kerisauan bimbang terlewat sampai ke tempat perlumbaan dan akan ditinggalkan kawan-kawan serempitan beliau.

Di surau itu kedapatan seorang imam tua.Semakinlah risau akan mat rempit itu akan kehabisan masa beliau melihatkan pak imam tua yang bertongkat dan terketar-ketar.”Tentulah lambat habis solat maghrib kalau macam ni gayanya kalau aku bermakmumkan pak imam tua ni’”.Lalu disuarakanlah kerisauannya kepada pak imam tua tersebut.”Pak Imam tua, lu semayang cepat sikit boleh tak,gua nak pergi merempit pulak ni”.

Walaupun sedikit terkejut mendengar kata-kata mat rempit yang agak ‘sopan’ itu, di offerlah pak imam tua tersebut kepada mat rempit,”Orang muda, kau sajalah jadi imam”.

Bersetujulah mat rempit tersebut.”Betul jugak,baik gua je jadi imam.Boleh gua cepatkan sikit solat maghrib ni.Tak derlah gua terlepas nak pergi merempit nanti”,

Diringkaskan cerita, menjadi imamlah mat rempit tersebut akan solat maghrib tersebut.Dimakmumkan oleh pak imam tua dan beberapa orang lagi makmum.Terpegun atau dalam bahasa yang dahsyat sikit, terkesima dan terpana lah akan pak imam tua itu mendengar bacaan mat rempit tersebut.Dengung dan tarannumnya ala-ala imam Mesir lagaknya.Sungguh merdu dan gemersik.Kata orang zaman sekarang,”Boleh Lawan la”.

Sesudah memberi salam, berkatalah pak imam tua tersebut,”sedap sungguh bacaanmu wahai orang muda ..lain kali bolehlah jadi imam jemputan surau kami”. Jawab mat rempit tu dengan hidung yang kembang kempis dan dalam nada berbisik kepada pak imam tua.”terimakasih pak imam tua atas pujian lu tu.Itu gua solat tak ambik air sembahyang tu, kalau gua solat ambik air sembahyang..fuhh..bacaan gua lagi power pak imam!”.

Arakian terloponglah mulut pak imam tua adanya..

Aku pun terlopong jugak masa mula-mula mendengar kisah ini.Tapi cepat-cepat aku cuba cari moral disebalik cerita ini.Rasa akulah, pengajaran nyata di sebalik kisah ini ialah, ramai di antara kita sekarang terlebih semangat dibandingkan dengan ilmu.Maksud aku, ilmu tak ada atau tak seberapa, tapi semangat dan amalan pulak yang terlebih-lebih bukan pada tempatnya..Inilah yang dikata orang, amal tanpa ilmu ni bodoh namanya, begitulah juga perbandingan kalau ilmu tanpa amal.

Semogalah kisah di atas memberi sedikit iktibar kepada aku terutamanya dan kawan2 sekalian...apa yang boleh kita kongsikan untuk kebaikan bersama kita kongsikan...dan adalah lebih baik dari kita duk bercerita yang kita dan kumpulan kita lebih dari orang lain sedangkan apa yang kita cakap tidak seperti apa yang kita buat.

Wallahualam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...