ReviewMe

Jumaat, 21 Januari 2011

Taiping Bandar Warisan



kedudukan Taiping dalam Negeri Perak


Kali ini aku nak ceritakan tempat tinggal dan daerah aku bekerja...walaupun baru 2 tahun lebih aku duk disini..tetapi kedamaian dan ketenangan nyer membuatkan aku jatuh cinta pada Taiping ni....aku mengharapkan aku akan duk dan kekal lama juga la disini.....k la korang baca maklumat dan info yang aku perolehi mengenai Taiping ni...

Bandar Taiping merupakan ibu kota bagi daerah Larut, Matang dan Selama. Sebelum 1937, Taiping merupakan ibu negeri Perak. Nama lama Taiping ialah Klian Pauh. Klian bermaksud lombong. Pauh pula ialah sejenis buah mangga bersaiz kecil.
Taiping bermaksud "AMAN" atau "DAMAI" dalam Mandarin.Nama ni tercetus dari pertelingkahan puak-puak pendatang negara China yang melakukan aktiviti perlombongan bijih timah di daerah Larut iaitu Ghee Hin dan Hai San, yang begitu ramai di Kelian Pauh ketika itu. Persatuan kongsi gelap dari dua puak ini telah bertelingkah kerana lombong bijih timah dan jalan air. Setelah mendapat kata sepakat untuk berdamai, Taiping telah dipilih sebagai nama baru bagi bandar di daerah Larut. 

LOKASI DAN MUKA BUMI

Taiping terletak di koordinat 4.8° Utara dan 104.7° Timur. Taiping terletak di atas muka bumi yang tinggi terutamanya di bahagian Bukit Larut. Gunung Hijau (1448 meter) adalah gunung tertinggi di sini. Bandar Taiping merupakan tempat paling kerap menerima hujan yang lebat, hampir 320 hari setahun. Lantaran itu muka buminya basah terutama di Taman Tasik Taiping. Hujan yang diterima ialah jenis hujan bukit iaitu dari Banjaran Bintang di sebelah Timur. Namun begitu Taiping tidaklah dilanda banjir kecuali kawasan paya bakau di sebelah Barat.


FAKTA SEJARAH DI TAIPING

1.
1880-an bandar Taiping telah dibangunkan oleh penjajah Inggeris kerana daerah ini kaya dengan sumber hasil bijih timahnya di sekitar Sungai Larut. Sebelum kedatangan British, daerah ini (pada masa dahulunya dikenali sebagai Jajahan Larut) telah ditadbir oleh Menteri Larut iaitu Dato' Long Jaafar yang telah diberi kuasa oleh Sultan Perak pada ketika dulu untuk mentadbir jajahan ini. Long Jaafar telah membina pusat pentadbirannya di Bukit Gantang dan menjadikan Kuala Sungai Limau di Trong sebagai pelabuhan utama Jajahan Larut.

2.
1880-an ibu negeri Perak dipindah dari Bandar Baru ke bandar Taiping setelah J.W.W. Birch dibunuh oleh Dato' Maharaja Lela di Pasir Salak pada tahun 1875.

3.
1874 setelah British menjajah negeri Perak sejurus Perjanjian Pangkor ditandatangani di Pangkor, Jajahan Larut telah ditadbir oleh Kapten Speedy sebagai Penolong Residen British.

4.
1937 Taiping tidak lagi menjadi ibu negeri Perak. Ipoh dipilih sebagai ibu negeri kerana terletak di tengah-tengah negeri Perak.


BERAKHIR TAIPING SEBUAH IBU NEGERI

Walaupun lapangan terbang yang pertama di Perak diadakan di Taiping, pada waktu itu telah dibuat rancangan untuk memindahkan pusat pentadbiran ke Ipoh yang jauh lebih maju dari segi perkembangan ekonomi. Perpindahan itu mula-mula dicadangkan oleh Pesuruhjaya Tinggi (Hugh Clifford) sendiri di Majlis Persekutuan pada tahun 1927 tetapi tiada tindakan diambil sehingga tahun 1937. Rancangannya ialah untuk melakukan perpindahan itu dengan beransur-ansur dalam jangka masa tujuh tahun.

Apabila kedengaran berita tentang cadangan perpindahan itu satu golongan penduduk Taiping - mereka yang berpelajaran Inggeris telah menyuarakan bantahannya. Untuk menjadikan suara mereka lebih lantang mereka telah menerbitkan sebuah akhbar Taiping Weekly Record. Penduduk Ipoh yang mendesak supaya perpindahan itu dilakukan sebenarnya mempunyai akhbar juga untuk menyuarakan pendapat mereka; akhbar itu ialah Times of Malaya. Yang memainkan peranan utama dalam penerbitan akhbar Taiping itu ialah Yeoh Teng Khoo, seorang guru, juga ahli sukan yang terkenal.

Penduduk Taiping berpendapat bahawa di Taipinglah mula-mula diletakkan asas pemerintahan yang tersusun, perniagaan yang makmur serta kedamaian di antara berbagai kaum. Justeru itu Taiping adalah bandar yang terkanan; memang sesuailah ia dijadikan ibu kota negeri Perak. Taiping, bahkan dianggap sebagai suatu carta melambangkan kedamaian yang menjadi punca kemakmuran dan kemakmuran adalah alasan yang ditonjolkan oleh penduduk lpoh yang mendesak supaya pusat pentadbiran dipindah ke situ. Ipoh, menurut penduduk Taiping, walaupun besar dan penting, tiada hak dari segi perlembagaan, sejarah atau ekonomi untuk menjadi bandaraya pertama di Perak. Kekayaan Ipoh adalah terbatas kerana lambat laun pengeluaran bijih timah akan merosot.

Selain daripada akhbar Taiping Weekly Record, ahli-ahli Majlis Negeri yang berasal dari Taiping seperti Toh Eng Hoe dan Dr. Saw Ah Choy juga berkali-kali terlibat di dalam perbahasan mengenai isu itu. Tetapi kesemua bantahan itu tidak berhasil. Perang Dunia II tidak juga melambatkan perpindahan yang telah bermula pada 1937. Bila tamat sahaja zaman Pendudukan Jepun, iaitu lapan tahun sejak tahun 1937, pusat pentadbiran tetap dipindah ke Ipoh. Taiping menjadi bandar yang kedua pentingnya di Perak sehingga hari ini. Peninggalan-peninggalan daripada zaman Taiping menjadi ibu kota masih ada. Yang sudah lapuk kerana telah lama tidak digunakan lagi ialah jalan keretapi Taiping - Port Weld. Taiping kini menjadi tempat persinggahan penting keretapi Kuala Lumpur - Butterworth tetapi stesen keretapi di Port Weld sama sekali tidak dijaga dan ada dalam keadaan kopak-kapek. Peninggalan yang masih berfungsi ialah penjara yang pernah menjadi penjara utama di Tanah Melayu. Pada suatu ketika dahulu penjenayah yang menjalani hukuman lebih daripada satu tahun dikurungkan di penjara Taiping. Bangunan-­bangunan lain yang sehingga akhir-akhir ini masih ada dan melambangkan kedudukan luhur Taiping dahulu termasuklah Residensi dan pejabat-pejabat Kerajaan.
Taiping masih mempunyai kemudahan-kemudahan untuk sukan yang tidak terdapat di bandar-bandar lain di Perak kecuali Ipoh seperti stadium dan kolam berenang serta tempat-tempat untuk beristirehat seperti Bukit Maxwell dan tasik. Mungkin yang paling penting Taiping mempunyai sejarah yang menarik yang sepatutnya ditonjolkan kerana Taiping pada suatu waktu dahulu adalah bandar utama di Semenanjung Tanah Melayu.

KENAPA IA DIBERI NAMA BANDAR WARISAN DAN APA YANG MENARIK?

di bawah ni aku senaraikan tempat/bangunan/infrastruktur yang kebanyakannya adalah yang pertama di Tanah Melayu (pada ketika itu)...antaranya adalah:

Taman Tasik Taiping



Landasan Keretapi pertama di Tanah Melayu (Taiping-Port Weld)
Stesen Keretapi Pertama

Resort Tanah Tinggi pertama (Bukit Larut)

Pelabuhan Pertama - Kuala Sepetang

Hospital Pertama

Muzium Pertama

Bangunan Pasar Pertama - Pasar Taiping

Zoo Pertama - Zoo Taiping

Penjara Pertama - Penjara Taiping

Menara Jam Pertama

Lapangan Terbang Pertama

dan banyak lagi yang pertama...tak dapat aku nak nyatakan...kome kalo datang sini..rajin2 la selidik apa lagi yer...hehehe







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...