ReviewMe

Ahad, 15 Mei 2011

Hari Nakbah..Satu Perjuangan Suci


Semenjak dua hari lepas laman blog menghadapi masalah dan segala entry yang aku uploadkan hilang entah ke mana...untuk aku menaipkan kembali entry yang lepas agak keberatan rasanye..idea waktu tu dah ilang di bawa pergi..apa masalah dengan web blog pun aku tak pasti..hari ini baru ok, jadi mood menaip tu datang kembali.


Hari ini 15 Mei 2011, mungkin bagi kita sebagai umat Islam generasi baru tidak ramai yang mengetahui dan menyedari hari ini adalah hari dimana HARI NAKBAH atau hari HARI KECELAKAAN yang disambut oleh saudara seagama kita di bumi Palestin. hari ini dimana pada taun 1948 tentera dan militia/pengganas israel dibantu oleh barat telah menceroboh dan memusnahkan lebih 500 bandar dan kampung di Palestin yang telah menyebabkan lebih 700 000 rakyat Palestin menjadi pelarian. hari dimana masyarakat palestin diusir malahan dibunuh demi kerakusan bangsa yang kejam dan zalim ini yang ingin menubuhkan negara haram yahudi dibumi itu dengan bantuan sekutu rapatnya britain.

Peristiwa ini akhirnya berlaku selepas terlaksananya kependudukan dan penjajahan haram oleh rejim Yahudi Zionis ke atas tanah dan penduduk asal negara Palestin secara sistematik dengan bantuan British dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Tarikh penting tersebut adalah detik hitam bagi penduduk asal bumi Palestin, orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya. Negara Palestin yang selama ini telah dinaungi kedamaian dan keadilan untuk ribuan tahun itu semakin merasai keperitan, kepedihan dan derita yang berpanjangan apabila mereka berada di bawah jajahan dan kongkongan Yahudi Zionis sejak enam dekad yang lalu.


Kesan langsung dari nakbah atau malapetaka ini ialah kekejaman pasukan tentera pengganas Yahudi Zionis yang telah bertindak mengusir lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin (lebih kurang 700 ribu orang daripada sejumlah 1.39 juta rakyat) ke luar negara manakala 30 ribu yang lain telah diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.

Daripada jumlah 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.


Antara yang paling kejam ialah tragedi Deir Yassin pada 9 April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang tua, wanita dan 52 orang kanak-kanak. Petugas Palang Merah dan PBB sendiri menyaksikan bagaimana rumah-rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri dari ditembak.

Masyarakat dunia sengaja melupakan bahawa bangsa Yahudi bukanlah penduduk asal bumi Palestin sehinggakan pemerintah tentera mereka yang kemudiannya dilantik sebagai menteri pertahanan, Moshe Dayan mengakui sendiri bahawa setiap penempatan Yahudi dibina dari keruntuhan perkampungan rakyat Palestin. Ini adalah jenayah yang terancang melalui perencanaan dan pengiktirafan sebelumnya.


Jenayah ini disahkan lagi apabila PBB yang telah mengeluarkan lebih daripada 110 resolusi mereka (sehingga tahun 2000) supaya mengembalikan hak 4.4 juta pelarian Palestin supaya dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka. Namun tidak ada satu pun daripada resolusi-resolusi ini yang dilaksanakan oleh rejim Yahudi Zionis.

Nakbah 1948 yang melanda Palestin juga menimbulkan kenangan pahit dan perasaan terhina yang mendalam di kalangan rakyat Palestin, orang-orang Arab dan umat Islam secara keseluruhannya sehingga ke hari ini.

Kini 62 tahun telah berlalunya Nakbah Palestin, namun rakyat dan negara Palestin terus diganyang Yahudi Zionis sehinggakan:

1. Rejim Zionis terus melakukan penindasan terhadap rakyat Palestin seperti meruntuhkan rumah-rumah mereka, membakar kebun-kebun mereka dan memperluaskan kawasan penempatan pendatang haram Yahudi. Sehingga kini Yahudi telahpun merampas dan menguasai kira-kira 90 peratus dari keseluruhan bumi Palestin.

2. Peningkatan serangan ke atas Masjid Al-Aqsa oleh ekstrimis Zionis yang semakin kerap mencabul kehormatan dan kesucian kiblat pertama umat Islam dalam rangka mereka mengyahudikan Baitul Maqdis. Mereka bercita-cita untuk meruntuhkan masjid Al-Aqsa dan mendirikan kuil Yahudi di atas tapak masjid sekarang.

3. Melakukan penangkapan dan pemenjaraan orang Palestin yang tidak bersalah sehingga lebih daripada 12 ribu di kalangan mereka kini merengkok di dalam penjara Israel. Di kalangan mereka adalah orang tua, kanak-kanak malahan juga wanita yang hamil lagi sakit.

4. Sekatan ekonomi yang dirancang secara rapi oleh Zionis menyebabkan orang Palestin tersepit dan terpaksa bergantung kepada sumber pekerjaan yang dimiliki oleh Yahudi. Akibatnya ramai di kalangan rakyat Palestin yang menganggur dan dibelenggu kemiskinan serta kebuluran.

5. Ramai di kalangan kanak-kanak Palestin dinafikan hak mereka untuk belajar sehinggakan jumlah mereka yang sempat ke pengajian menengah hanya peratusan yang sangat kecil.

6. Rejim Zionis tanpa malu dan segan telah membina tembok pemisah gergasi yang terpanjang di dunia iaitu sepanjang 720 kilometer di Tebing Barat yang menyekat penghidupan rakyat Palestin di sana serta menjadikan Tebing Barat sebagai penjara yang terbesar di dunia.

7. Dijangkakan seramai 6.45 juta di kalangan rakyat Palestin adalah pelarian yang hidup dengan penuh kedaifan sejak 60 tahun lalu. Inilah jumlah pelarian yang paling lama dan paling ramai dalam sejarah peradaban dunia.

8. Rejim Zionis kini berterusan menyiksa dan membunuh rakyat Palestin terutamanya di Gaza yang turut diakui pemimpin kanan mereka sebagai holocaust yang lebih hebat.


Penindasan, penodaan dan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Israel ini terhadap rakyat dan negara Palestin telah berlaku dalam tempoh yang amat panjang dan berlarutan. Sudah tentulah ia tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Fakta-fakta sejarah, kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa amat memihak kepada rakyat Palestin yang berhak memiliki ketuanan dan kedaulatan di bumi mereka sendiri.

Rejim Zionis Israel kini mendapati bahawa mereka tidak boleh mengawal keadaan rakyat dan negara Palestin. Malah mereka terpaksa membuat pelbagai pendekatan yang keras mahupun dengan cara berkompromi untuk berhadapan dengan kebangkitan rakyat Palestin.

Mereka menggunakan pelbagai strategi terutamanya dengan mempengaruhi sekutu kuat mereka iaitu Amerika Syarikat untuk menangani permasalahan yang terus berpanjangan. PBB dan masyarakat antarabangsa yang sentiasa memperjuangkan keadilan semestinya teguh dalam membuat pendirian dan tidak dipengaruhi oleh lobi Yahudi Zionis di dalam membuat dan melaksanakan keputusan-keputusan mereka.

Kependudukan dan negara Palestin mesti dikembalikan kepada pemilik asal yang sah. Bumi Palestin adalah tanah yang mulia untuk seluruh umat Islam kerana di situlah letaknya Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat, tempat berlakunya peristiwa Isra dan Mikraj, Tanah Suci umat Islam yang ketiga yang juga merupakan bumi para Nabi.


Isu Palestin bukanlah sekadar isu untuk orang Palestin atau orang Arab sahaja. Bahkan isu ini adalah isu penting yang berkaitan dengan keimanan untuk semua umat Islam di seluruh dunia.

Umat Islam di seluruh dunia seharusnya bersatu memperjuangkan isu Palestin yang merupakan isu induk umat Islam di abad ini. Perselisihan dan perbezaan budaya, geografi, bahasa dan bangsa sudah semestinya diketepikan demi menjayakan misi besar dalam menyelesaikan masalah ini.

Negara-negara Islam perlu berani dan ikhlas membantu terutamanya dari segi kemanusiaan setelah ratusan ribu nyawa yang tidak berdosa terkorban dalam krisis yang berlarutan sekian lamanya.

Kefahaman mengenai isu ini masih perlu diperluaskan lagi di kalangan masyarakat Islam Malaysia. Sumbangan kemanusiaan pula mesti dipergiatkan bagi membantu rakyat Palestin yang telah sekian lama tertindas.

Tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa Malaysia seharusnya menjuarai isu sejagat ini, bukan sahaja di kalangan kita bahkan di persada antarabangsa.

Persoalannya, adakah kita telah berbuat sesuatu bagi meringankan beban dan kesengsaraan yang mereka alami selama ini? Masyarakat muda mudi Islam kita semakin hari di lalaikan dengan hiburan dan hiburan hingga sanggup menangis dan kecewa apabila tidak dipilih menjadi artis atau bakal artis. kita tidak melihat dan menangisi nasib serta kesengsaraan saudara kita yang saban hari ditindas dan terus ditindas....berubahlah sebelum nasib kita menjadi seperti mereka....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...